Memulakan perniagaan eko-pelancongan seawal usia 22 tahun adalah satu tindakan berani buat anak muda ini.

Dengan objektif mahu mengangkat nama Kota Marudu seperti Kundasang dan Semporna di Sabah, Selvestone Junit juga ada tanggungjawab memberi kesedaran kepada komuniti mengenai eko pelancongan.

Malah, selaku Pengerusi Pembangunan Pelancongan Kota Marudu, dia berperanan mengemudi lebih 20 pemain industri di daerah itu,selain bersama ahli persatuan dalam menangani cabaran yang melanda.

"Selepas beberapa tahun memberi kesedaran dan tunjuk ajar kepada komuniti di sini untuk membangunkan industri pelancongan, kita dikejutkan pula dengan cabaran besar iaitu COVID-19.

"Bagaimanapun, selain COVID-19, cabaran utama penggiat pelancongan di Kota Marudu ini adalah akses jalan untuk masuk ke tempat-tempat pelancongan.

"Kira-kira 80 peratus kawasan tarikan pelancong di sini mengalami masalah akses jalan raya yang sangat teruk.

"Macam mana mahu membangunkan sesuatu pusat pelancongan itu jika masalah dalaman seperti akses jalan masuk pun tidak dapat diatasi," katanya ketika ditemui Astro AWANI baru-baru ini.

Ini merupakan jalan masuk ke salah sebuah pusat pelancongan di Kota Marudu.

Akui Selvestone, pelbagai rungutan dan perasaan ingin menyerah kalah timbul dalam kalangan penggiat pelancongan di daerah itu, berhubung masalah infrastruktur yang dialami serta pandemik COVID-19.

Namun, ia merupakan tanggungjawab persatuan untuk menenangkan para ahli dan bersatu dalam memastikan pelancongan di daerah itu kekal relevan serta berdaya saing.

"Ingin saya nyatakan bahawa, kebanyakan tarikan pelancongan di sini diusahakan oleh komuniti kampung itu sendiri, dengan latar belakang bukan dari syarikat-syarikat dengan modal besar.

"Apabila cabaran ini datang, ia boleh mengancam hingga menyebabkan pemain industri gulung tikar.

Keadaan halaman Panorama Paradise yang merupakan salah satu eko pelancongan di Kota Marudu.

"Setakat ini di Kota Marudu, beberapa pusat pelancongan masih lagi menutup perniagaan kerana sekiranya mereka membukanya, pendapatan yang dijana tidak mampu menampung kos operasi," katanya.

Jelas Selvestone, perlu ada satu penyelesaian segera bagi memastikan industri pelancongan terutama pengusaha kecil dan sederhana (PKS) di daerah itu kekal relevan.

Ini kerana, jika masalah dalaman seperti akses jalan tidak diatasi pihak berwajib, industri pelancongan di daerah itu dikhuatir semakin mengecil dan akhirnya tidak mampu berdaya saing.